Friday 23 December 2011

Dewan Pemuda Pas Sokong Adam Adli


KUALA LUMPUR, 23 DIS : Dewan Pemuda Pas hari ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada seorang mahasiswa yang dilanda kontroversi ekoran tindakannya menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. 

"Tindak balas ke atas Adam Adli sangat keterlaluan. Ludah, pukul dan terkini ugutan bunuh ke atasnya telah melepasi  batas kewarasan manusia bertamaddun," tegas ketuanya, Nasrudin Hassan.

"Sekalipun mereka menganggap tindakan berani Adam menurunkan bendera Datuk Seri Najib sebagai satu kesalahan, tetapi tindak balas sedemikian adalah suatu tindakan yang sangat keterlaluan.

"Insya-Allah, DPPM tidak teragak-agak akan bangkit bertindak tegas andai terjadi sesuatu yang tidak diingini kepada Adam Adli,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nasrudin, tindakan anak muda berkenaan perlu ditangani secara diplomasi. 

Malah ujarnya, beliau sendiri pernah berhadapan kontroversi sama apabila beliau menurunkan bendera Sweden satu ketika dahulu.

"Tegas saya nyatakan bahawa tindakan saya menurunkan bendera tersebut sebagai satu isyarat jelas bahawa Sweden tidak lagi dihormati apabila rakyatnya sewenang-wenang menghina Nabi Muhammad SAW.

"Perbuatan menurunkan bendera tidak lagi sepadan dengan tindakan mereka menghina Rasulullah SAW.

"Begitulah saya melihat kes Adam Adli. Kalau tiada suatu yang membara dalam jiwa anak muda itu, masakan dia saja-saja pergi menurunkan bendera Datuk Seri Najib," tegasnya.

Malah Nasrudin mendakwa perbuatan Adam itu adalah satu isyarat yang ingin disampaikan kepada Perdana Menteri.  

"Saya harap Adam bersabar. Kuatkan pergantungan kepada Allah swt. Anda tidak keseorangan. Dewan Pemuda PAS turut bersama anda," tambahnya.


http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJRk

No comments:

Post a Comment