Friday 23 December 2011

Dakwaan Pas Tersasar Tidak Berasas - Nik Aziz



SHAH ALAM, 23 DIS : Badan Pemantau Pas, Majlis Syura Ulama tidak akan berdiam diri jika dasar parti dilanggar atau dirombak, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Penegasan itu sekaligus menjawab dakwaan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali kononnya Pas sudah tergelincir daripada landasannya hanya kerana mengubah slogan dari 'Negara Islam' kepada 'Negara Kebajikan'.

“Selaku Mursyidul Am Pas, saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata tuduhan bahawa idea Negara Kebajikan yang diumum Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini sudah tersasar dari perjuangan asal Pas, adalah tidak berasas.

Nik Aziz dalam satu kenyataannya berkata, idea Negara Kebajikan lebih relevan dan mendekatkan masyarakat kepada perjuangan parti. 

“Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden bukannya menggelincirkan Pas dari landasannya, bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan Pas yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan,” ujarnya.

Nik Aziz juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik Pas untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti.

“Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa.

“Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya Allah,” ujarnya.

Nik Aziz juga berkata beliau menyambut baik langkah memanggil Hasan, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sugib untuk memberi penjelasan kepada parti. 

Kontroversi melibatkab tiga tokoh ini tercetus apabila, Saari mengumumkan bahawa Hasan tidak mempunyai percalonan yang cukup untuk membolehkan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Pengumuman itu bingkas disambut Hasan dan menyifatkan Saari sebagai membelakangkan parti, walhal perkara itu masih belum diputuskan oleh Pas Pusat. Reaksi Hasan mula melimpah kepada dakwaannya bahawa Pas semakin tersasar dari landasan sebenar.

Menjawab isu tersasar itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Setaiusaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali memidas Hasan dan menyifatkan beliau kecewa kerana tidak mendapat sokongan untuk mewakili parti itu. 

Dalam keghairahan Mustafa memberikan reaksi, beliau secara tidak langsung mengheret sama Nasharuddin kedalam kancah pertelingkahan ini dengan menyatakan bekas timbalan presiden itu terperangkap dalam agenda Umno.

Nasharuddin kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan dan membidas Mustafa agar tidak membuat kesimpulan mudah terhadap dirinya. Nasharuddin juga menegaskan beliau setia dengan parti dan tidak akan sesekali menyertai Umno.  

http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJRj

No comments:

Post a Comment