Saturday 31 December 2011

Plagiat Penghakiman : Karpal Nafi Buat Aduan


SHAH ALAM, 31 DIS : Peguam Karpal Singh menafikan bahawa beliau telah membuat aduan kepada Pejabat Ketua Hakim Negara supaya menyiasat tindakan seorang hakim Mahkamah Rayuan memplagiat penghakiman hakim mahkamah Singapura pada tahun 2000.

Malah, beliau turut menyatakan rasa terkejutnya dengan keputusan siasatan bahawa aduan tersebut tidak mempunyai merit.

"Adalah jelas daripada surat-menyurat bahawa saya tidak membuat aduan kepada Ketua Hakim Negara (CJ) supaya dijalankan siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Karpal berkata, beliau terkejut bahawa Ketua Hakim Negara menyatakan berdasarkan siasatan yang dijalankan menurut Seksyen 13 (1) Kod Etika Hakim 2009, dakwaan plagiat seperti yang dibangkitkan oleh peguam itu tidak mempunyai merit dan aduan tersebut ditolak.

Dalam satu kenyataan lewat petang semalam, Karpal juga mempersoalkan Ketua Hakim Negara merujuk kepada Kod Etika Hakim 2009 kerana perbuatan plagiarisme itu berlaku pada tahun 2000, sebelum kod itu diwujudkan, sambil berkata "kod itu tidak retrospektif".

Pengerusi kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata komunikasi dengan Pejabat CJ hanyalah semata-mata respon kepada pertanyaan pejabat berkenaan berhubung suratnya kepada hakim berkenaan, berhubung isu tersebut.

Semalam, pegawai khas 1 kepada Ketua Hakim Negara, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, dalam satu kenyataaan hari ini, berkata siasatan yang dijalankan oleh Ketua Hakim Negara mendapati dakwaan Karpal itu tidak mempunyai merit dan aduan tersebut ditolak.

Sebelum ini, Karpal menggesa Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hakim Abdul Malik Ishak supaya meletakkan jawatannya berikutan dakwaan plagiarisme.

Pada 4 Oktober lalu, Karpal mengemukakan usul mengikut Perintah-Perintah Tetap 27 yang dibaca bersama dengan 36 (8) dan Perkara 127 perlembagaan persekutuan, yang mahu dibentangkannya di Dewan Rakyat.

Menurut Karpal beliau sendiri telah menulis kepada hakim kanan itu pada 22 Ogos lalu dan memberi beliau masa selama tujuh hari untuk menjawab dakwaan berkenaan.

Karpal kemudiannya menulis sepucuk lagi surat pada 29 September lalu dan memberitahu hakim itu bahawa sekiranya tiada jawapan diberikan beliau akan mengandaikan ia sebagai pengakuan salah laku.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZlg

No comments:

Post a Comment