Sunday 25 December 2011

Selepas Pulau Pinang, DAP Hadapi Krisis Baru Di Perak


SHAH ALAM, 25 DIS : Belum pun reda krisis  pimpinan DAP di Pulau Pinang membabitkan Pengerusi parti  Karpal Singh dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang,  P. Ramasamy,  konflik baru  bercambah di Perak.
 
Naib Pengerusi Nasional DAP,  M. Kulasegaran mengadakan sidang media mendesak Ahli Parlimen parti itu  Nga Kor Ming menjelaskan bagaimana syarikat milik bersama isterinya mendapat  kontrak membekal dan menjahit kemeja  untuk Ahli-ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 3 tahun lalu.
 
"Perniagaan dan politik tidak boleh dicampur aduk. Sesiapa tidak patut mencari keuntungan dari politik... Untuk kebaikan parti, Nga sepatutnya menjelaskan perkara sebenar berkenaan hal tersebut," kata Kulasegaran.
 
Kulasegaran adalah pemimpin nasional DAP yang pertama secara terbuka mempersoalkan penglibatan Nga dalam perkara tersebut. Dalam pemilihan negeri DAP lalu, kedua-duanya berada dalam kem berlainan.
 
Nga enggan mengulas cabaran Kulasegran itu  tetapi menekankan bahawa beliau dan isterinya tidak bersalah serta  berjanji untuk menyaman individu yang menuduh beliau.
 
Isu itu tercetus  apabila blogger Ahmad Sofiyan Yahya (http://sekupangduas.blogspot.com) mempertikaikan tindakan MBI memberikan tender itu kepada syarikat tukang jahit Ethan & Elton Sdn Bhd.
 
Isteri Nga adalah rakan kongsi syarikat itu yang dikatakan ditubuhkan 42 hari setelah Pakatan Rakyat menawan Perak pada tahun 2008 dan terus masuk tender untuk kontrak itu.  
 
Menurut blogger berkenaan, syarikat itu diberikan kontrak walaupun menawarkan harga  tender tertinggi.  Ahmad Sofiyan dilaporkan mengemuka beberapa dokumen untuk menyokong dakwaan itu.
 
Sofiyan mendakwa Nga, sebagai exco negeri bertanggungjawab mempengaruhi keputusan pemberian tender kepada Ethan & Elton.
 
Sofiyan telahpun melaporkan perkara ini tiga hari lalu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
Ethan & Elton menafikan tuduhan Sofiyan  dan mendakwa Ia diberikan kontrak itu berdasarkan keupayaan tukang jahit dan kualiti bahan jahitan yang digunakan.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJhf

No comments:

Post a Comment