Monday 26 December 2011

DAP Kuasa Unggul Dalam Pakatan, kata Pensyarah


SHAH ALAM, 26 DIS : Parti Tindakan Demokratik (DAP) kini rancak mengatur langkah untuk menjadi kuasa yang unggul dalam Pakatan Rakyat, langkah yang tentunya mencantas usaha PAS melaksanakan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat menawan Putrajaya. 

Pensyarah Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Atory Hussain berkata, usaha DAP yang rancak untuk meletakkan lebih ramai calon Melayu pada Pilihan Raya Umum ke 13 jelas bertujuan mempengaruhi imbangan kuasa dalam gagasan pembangkang itu.

"DAP sudah pun menguar-uarkan untuk meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya akan datang. Pada saya, ia belum tentu lagi berjaya tetapi dia punya strategi untuk meletak calon Melayu dan untuk mengubah kerangka kepimpinan mereka,” jelas Atory. 

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual ekslusif bersama AntaraPos.com.

Mengulas lanjut, Atory berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin lemah berbanding prestasinya pada pilihanraya umum yang lalu, dan tidak lagi boleh dianggap sebagai kuasa utama dalam Pakatan Rakyat. 

Keadaan itu membuka ruang untuk DAP muncul sebagai kuasa dominan dalam Pakatan, sekali gus menghakis pengaruh PAS dalam sebarang kerajaan yang bakal ditubuhkan jika pembangkang menang pilihan raya.  

PKR kini hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen setelah enam wakil rakyatnya lompat parti. Media arus perdana turut melaporkan parti itu mengalami masalah organisasi dan hampir dipaksa keluar daripada ibu pejabatnya kerana tidak membayar sewa. 

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ketua umum PKR akan mengetahui nasib beliau bersabit kes liwatnya pada 9 Januari depan. 

Atory berkata ketika pelbagai persoalan menghimpit masa depan PKR, DAP semakin kuat sehingga berani menampilkan lebih ramai calon Melayu, tanggungjawab yang dahulunya diberikan kepada PAS dan PKR.    

"(Dengan) lemahnya PKR, maka bangkitnya DAP dan kebimbangan itu ada apabila DAP nanti dengan PAS sudah tentu DAP dijangka mendominasi dan PAS ini sebagai rakan kongsi sahaja," katanya.

Keadaan itu, jika menjadi kenyataan akan menempelak komitmen Pas untuk melaksanakan undang-undang Islam di Kelantan dan Terengganu, malah di peringkat nasional. 

Ini kerana DAP terang-terangan menolak undang-undang berkenaan kerana takut hilang undi Cina, sekali gus menimbulkan persoalan kenapa PAS terus bersekutu dengan parti itu. 

"Saya fikir ini memang DAP punya strategi (letak calon Melayu),ini betul-betul kerja keras mereka. Strategi itu nampak menggerunkan tetapi bagi saya, belum nampak ke arah yang mana DAP akan menjadi Perdana Menteri, sebab kalau betul-betul DAP hendak menguasai negara ini, dia (DAP) mesti membuat perkara yang penting," katanya.

Dalam pilihan raya umum 2008, DAP memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 28 kerusi Parlimen dan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Pada pilihan raya negeri Sarawak yang lalu, DAP menang 12 kerusi berbanding PKR yang menang tiga kerusi manakala PAS tewas di semua kerusi yang ditandingi.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJhm

No comments:

Post a Comment