Friday 6 January 2012

Demo Anwar : Polis, PKR Setuju Adakan Di Tempat Letak Kereta


KUALA LUMPUR, 6 JAN : Polis dan Parti Keadilan Rakyat mencapai kata sepakat bahawa tunjuk perasaan pembangkang Isnin depan akan diadakan disebuah tempat letak kereta dekat dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
 
Persetujuan itu dicapai selepas perbincangan diantara pimpinan PKR dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh.
 
"Boleh adakan perhimpunan aman di tempat letak kereta selari dengan Akta Perhimpunan Aman 2011," kata Salleh kepada pemberita selepas berjumpa dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali.
 
Ketua Angkatan Muda Keadilan Samsul Iskandar Md Akin mengesahkan pihaknya bersetuju dengan tapak yang dicadangkan polis untuk memastikan demonstrasi anjuran parti itu aman dan tenteram.
 
Azmin menyifatkan pertemuan kedua-dua pihak sebentar tadi sebagai positif. Beliau akan memberi butiran penuh mengenai persetujuan yang dicapai dengan polis pada sidang akhbar petang nanti. 
 
"Keputusan adalah positif dan saya bergembira dengan perbincangan ini....dan berjanji tidak akan menimbulkan sebarang provokasi," kata Azmin.  
 
Pakatan Rakyat bercadang mengumpulkan ribuan penyokong sebagai tanda sokongan terhadap Anwar apabila Mahkahman Tinggi Kuala Lumpur memberi keputusan bersabit kes liwatnya Isnin ini.
 
Pada sidang akhbarnya petang tadi, Azmin berkata pihaknya akan menyediakan kawalan yang cukup untuk mengawal lalu lintas dan memastikan perhimpunan itu berlangsung secara aman.
 
"Saya berbincang dengan Ketua Polis Kuala Lumpur bagi melaporkan bahawa Pakatan Rakyat akan menyusun 100,000 rakyat Malaysia berhimpun untuk menujukkan solidariti kepada kepimpinan Anwar Ibrahim dan penentangan pimpinan kepada UMNO-Barisan Nasional," kata beliau.
 
"Saya menjanjikan bahawa perhimpunan ini akan berlangsung secara aman dan justeru itu, PKR telah membentuk pasukan khas 'Marshall Force' seramai 500 ahli akan bertugas supaya dapat mengawal lalu lintas dan membantu pergerakan khususnya kepada mereka yang menggunakan jalan utama," tambahnya.  
 
"Saya juga yakin bahawa polis tidak akan melakukan sekatan jalan raya seperti yang berlaku dalam perhimpunan yang lalu sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk sebelum ini."
  
Jika disabit kesalahan, Anwar boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan digugur kelayakan bertanding pada pilihanraya umum akan datang.
 
Ketua Pembangkang itu dituduh meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008 di sebuah kondominium di Damansara.
 
Anwar mendakwa pertuduhan itu adalah konspirasi kerajaan untuk menjatuhkan beliau kali kedua setelah beliau disabit atas kesalahan sama pada tahun 1999 dan menghabiskan enam tahun di penjara sebelum Mahkamah Persekutuan mendapati beliau tidak bersalah.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan Anwar dan menegaskan kes liwat itu adalah isu peribadi yang akan diputuskan oleh mahamah mengikut lunas undang-undang.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkc5Jg

No comments:

Post a Comment