Friday 6 January 2012

Demo UPSI : Mahasiswa Serah "Bukti" Kepada Polis


KUALA LUMPUR, 6 JAN : Solidariti Mahasiswa Malaysia dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik menyerahkan kepada Bukit Aman apa yang mereka sifatkan sebagai bukti bahawa polis menganiayai di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 1 Januari lalu.

Presiden Kumpulan Aktiviti Mahasiswa Malaysia, Haziq Abdul  Aziz berkata bukti itu berupa video dan  keterangan saksi-saksi yang turut berada di UPSI pada malam kejadian itu.

“Saya bersama rakan-rakan telah menyerahkan memorandum bukti keganasan pihak polis terhadap mahasiswa yang berhimpun secara aman di UPSI pada malam 1 Januari kepada Bukit Aman,” beliau memberitahu pemberita. 

“Kita desak supaya pihak polis menyiasat dan ambil tindakan sewajarnya terhadap anggota polis yang terlibat pada malam itu,” tambahnya

Beliau berkata laporan bukti tersebut adalah berbentuk gambar di tempat kejadian yang sempat dirakamkan oleh pihak media dan saksi di tempat kejadian.

Antara video yang diberi kepada polis ialah visual Safwan Anang selepas beliau mengalami kecederaan yang dirakam oleh portal berita ini. Safwan mendakwa beliau  ditumbuk oleh polis sehingga bibirnya berdarah. 

17 pelajar di tahan polis manakala dua yang lain termasuk Safwan dilaporkan cedera apabila lebih 100 mahasiswa yang mengadakan tunjuk perasan di UPSI engkar arahan polis untuk bersurai.  

Kumpulan pelajar berkenaan menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti. 

Mereka  juga menyatakan sokongan terhadap Adam Adli yang dikenakan tindakan displin oleh UPSI setelah beliau menurunkan bendera Perdana Menteri di ibu pejabat Umno bulan lalu.

Dalam pada itu pada jam 11 pagi tadi Adam Adli dipanggil oleh polis ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung protes memansuhkan AUKU 1971 dengan menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 17 Disember lalu.

“Mereka menyiasat saya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kononnya saya mengaibkan dengan tujuan memecahkan keamanan mengajak jadi kita tunggulah sama ada kes atau tidak,” katanya.

Beliau selain itu berkata akan menghadirkan diri pada 9 Januari ini untuk sesi pendengaran tatatertib  oleh UPSI ekoran tindakannya menurunkan bendera Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri di Putra World Trade Center 17 Disember lalu.

“9 Januari ini saya perbicaraan di UPSI pada pukul 3 petang, perbicaraan ini saya lihat untuk menidakkan suara mahasiswa, saya berserta rakan-rakan yang selama ini komited, menentang penyalahan akta bagi menyekat kebebasan mahasiswa dan kita akan ambil tindakan yang sewajarnya bagi menghentikan AUKU ini dari terus digunapakai,” katanya.

Pada 24 Disember lalu, dua kakitangan UPSI menghantar notis yang mengarahkan Adam diminta hadir ke universiti itu pada 3 petang, 9 Januari ini berhubung tindakannya menurunkan bendera yang memaparkan gambar Datuk Seri Najib Razak di PWTC pada 17 Disember 2011.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkc5Jf

No comments:

Post a Comment