Wednesday 4 January 2012

Kempen Bebas Anwar 901 : PKR Tetap Teruskan Walaupun Tanpa Permit


SHAH ALAM 4 JAN : Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menolak nasihat polis dan bertekad untuk meneruskan himpunan 'Bebas Anwar 901' pada Isnin depan apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang itu.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata tindakan menghasut orang ramai untuk berhimpun di kawasan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur  boleh menggugat ketenteraman awam selain menghina pentadbiran sistem keadilan Negara.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie berkata pihaknya tetap akan berhimpun walaupun penganjur belum memohon permit.

"Memang kita tidak berhasrat untuk memohon permit kerana kita tahu permit untuk penganjuran ini tidak akan dikeluarkan (oleh polis) seperti mana yang berlaku,” kata Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie.

Mengulas lanjut mengenai 336 laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak di seluruh negara sehingga semalam bagi mendesak agar kempen itu dihentikan, Shuhaimi berkata, pihaknya tidak akan tunduk atas desakan itu.

Katanya, selain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beberapa lokasi di sekitar ibu negara juga akan dijadikan tempat untuk mengadakan kempen itu namun lokasinya masih belum diputuskan.

Penganjur kempen itu merancang mengadakan demonstrasi pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan keputusan mengenai perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ini. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkcpdl

No comments:

Post a Comment