Friday 6 January 2012

Demo UPSI : Safwan Buat Laporan Polis, Janji Kemuka Bukti Video


KUALA LUMPUR, 5 JAN : Safwan Anang hari ini membuat laporan polis mendakwa beliau telah dikasari oleh polis pada malam Perhimpunan Aman Mahasiswa yang diadakan di hadapan pintu utama masuk Universiti Pendidikan Sultan Idris 1 Januari lalu.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi  petang tadi. Peguamnya berjanji untuk mengemukakan bukti video untuk menyokong dakwaan itu.  
 
"Saya tegaskan sekali lagi yang saya dicederakan, dikasari oleh pihak polis, ini bukan kali pertama kita berhimpun secara aman dan kita jelas sokongan kita pada malam itu pun, adalah semata-mata untuk menuntut supaya UPSI menarik balik tindakan terhadap saudara Adam Adli, ujar beliau.

Sementara itu Pengarah dari Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) dan Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata pihaknya sedang mengumpul bukti kekasaran yang ditempuhi oleh  Safwan Anang dan mahasiswa lain. 
 
"Untuk makluman juga, kita ada beberapa bukti yang jelas berlaku pergelutan tersebut, beberapa rakaman video yang sangat jelas, jadi apa yang dipaparkan di kaca-kaca tv sebelum ini hanya sebahagian sahaja yang tidak menunjukkan kekasaran.

"Tetapi apa yang berlaku kepada saudara Safwan kita, bukti ada bahawa dia mula-mula ditarik secara kasar, kemudian ditumbuk dan dihentak dengan lutut itu ada dalam rakaman video,” katanya.

Dalam laporan polis  itu Safwan mendakwa dirinya ditumbuk sehinggakan bibir di sebelah kiri berdarah selain juga mendakwa dihentak dengan lutut dibahagian rusuk kanannya dan mengalami sesak nafas.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Adam Adli akan dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan pada polis esok jam 11 pagi bersabit kejadian itu. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkcplm

No comments:

Post a Comment