Friday 6 January 2012

Hasan Tolak Tunjuk Perasaan Sokong Anwar Isnin Depan


SHAH ALAM, 5 JAN : Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali menongkah arus pembangkang apabila menolak tunjuk perasaan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin depan sebagai berkemungkinan mencetuskan anarki.
 
Beliau berkata tunjuk perasaan anjuran Parti Keadilan Rakyat adalah untuk "isu perbadi" Anwar yang diberi ruang secukupnya di mahkamah untuk membela diri terhadap tuduhan liwat.
 
"Sebab itu himpunan ini memerlukan renungan dan siapa juga yang terlibat terutama pimpinan-pimpinan saya mahu menyeru supaya memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya." kata beliau pada sidang akhbar di Shah Alam.
 
"Pada saya ini isu peribadi tapi bila isu ini membabitkan golongan itu membabitkan golongan ini, jadi isu peribadi ini menjadi isu masyarakat, isu negeri, negara. Sepatutnya dia tidak jadi begitu,." tambah beliau.
 
"Mahkamah telah beri ruang dan peluang (kepada Anwar). Saya difahamkan tentang penangguhan saja tak kurang daripada 60 penangguhan," tambah beliau.
 
Hasan berkata beliau tidak mahu rakyat diheret dalam budaya tunjuk perasaan untuk isu-isu peribadi yang memberi kesan kepada urus tadbir negara. 
 .
"Saya bimbang jika kita kekalkan budaya ini, nanti Malaysia akan menjadi (negara) anarki. Jadi bila anarki nanti semua akan rebutkan kuasa, kedudukan akhirnya negara kita akan menjadi sebuah negara yang tiada undang-undang. Saya tak mahu kalau Pakatan Rakyat memerintah akan timbul elemen anarki dalam sistem pentadbiran." 
 
Pendirian Hasan itu berbeza dengan ketetapan PAS untuk membantu PKR menghimpunkan 100,000 orang Isnin ini apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi keputusan terhadap kes liwat Anwar. DAP juga memberi komitmen untuk meyokong tunjuk perasaan itu.  
 
Hasan mempersoalkan tindakan Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Abdul Rani Othman memberi jaminan parti itu akan menghantar ahli dan penyokong menyertai perhimpunan haram itu.
 
Hasan menegaskan pandangan yang dikemukakan itu secara jelas ia tidak menggambarkan pendapat seluruh jentera Pas Selangor.
 
"Pas Selangor nampaknya begitu pro-aktif untuk sesuatu yang salah. Kalau dilihat ketua penerangannya terlalu pro-aktif hingga mendahului pimpinan peringkat atasan ataupun pusat. Rasa saya pun dia (Dr Rani) mendahului pandangan daripada pimpinan pusat."
 
Jika disabit kesalahan, Anwar boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan hilang kelayakkan bertanding pada pilihanraya umum akan datang.
 
Ketua Pembangkang itu menafikan tuduhan itu sebagai konspirasi kedua kerajaan untuk menjatuhkannya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kes itu adalah isu peribadi Anwar dan tidak ada kena mengena dengan Umno atau kerajaan.  


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkcplh

No comments:

Post a Comment