Wednesday 4 January 2012

Tindakan Tegas Akan Dikenakan Kepada Guru Dan Pelajar Terlibat Perhimpunan 'Bebaskan Anwar 901'


SEREMBAN, 4 JAN : Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi memberi amaran keras kepada mana-mana pelajar dan guru yang menyertai perhimpunan haram Kempen "Bebaskan Anwar 901" pada Isnin ini bahawa mereka akan dikenakan tindakan tegas.

Sambil mengingatkan pelajar dan pendidik supaya jangan terlibat dengan perhimpunan itu, beliau berkata Kementerian Pelajaran memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan sekiranya perlu.

"Kita tidak akan berkompromi dalam perkara ini memandangkan pihak polis sudah membuat kenyataan tidak akan mengeluarkan permit kepada perhimpunan itu. Oleh itu, saya nasihatkan semua pelajar dan juga guru, jangan sekali-kali terlibat," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kolej Tunku Kurshiah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan penganjur untuk mengadakan perhimpunan haram semasa kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 9 Januari ini.

Mohd Puad berkata penganjur perhimpunan itu sepatutnya akur dengan apa saja keputusan mahkamah.

"Pada saya tindakan itu adalah tidak wajar dan menunjukkan bahawa usaha mengadakan perkhimpuan itu lebih daripada usaha yang bersifat mementingkan diri dan tidak menghormati undang-undang," katanya.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcpZo

No comments:

Post a Comment