Friday 6 January 2012

Cara Pakatan Rakyat "Melabur" Dalam Politik Mahasiswa


KOMENTAR : Dua hari lalu, kerajaan negeri Selangor mengikat Memorandum Persefahaman dengan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) Universiti Teknologi Mara (Uitm).. 

Menurut Exco Kerajaan Negeri Dr Xavier Jayakumar, memorandum itu akan membolehkan kerajaan negeri membantu melaksanakan aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan di  kampus UiTM. 

MoU antara sebuah kerajaan negeri dan persatuan mahasiswa adalah sesuatu yang agak janggal, lebih-lebih lagi memandangkan Kerajaan Persekutuan mengeluarkan peruntukan begitu besar setiap tahun untuk kebajikan pelajar di setiap peringkat. 

Namun dalam persekitaran yang ada sekarang, tindakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat itu tidak lah harus dianggap sebagai terlalu mengejutkan walaupun motifnya mencurigakan. 

Negara kini melihat semula kebangkitan mahasiswa menuntut pelbagai pembaharuan, khususnya  pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti. 

Bahawa kerajaan bersetuju memansuhkan Seksyen 15 Akta itu tidak memadai, Malah rundingan-rundingan meja bulat anjuran Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan maklum balas terhadap AUKU dianggap tidak kredibel. 

Beberapa persatuan mahasiswa termasuk KAMI dan Soldariti Mahasiswa Malaysia mengambil langkah mengadakan tunjuk perasaan yang termasuk menurunkan bendera Perdana Menteri di ibu pejabat UMNO bulan lalu. 

Pada Hari Tahun Baru, kumpulan sama mendakwa mereka menjadi sasaran polis apabila mengadakan demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim. 

Segala tindakan kumpulan mahasiswa ini mungkin didokong oleh parti pembangkang dan kerajaan Selangor sendiri atas nama menyuburkan demokrasi di kampus dan memulihkan hak asasi pelajar di kampus. 

Hakikatnya adalah mahasiswa sudah lama menjadi kumpulan sasaran parti-parti politik, baik Pembangkang atau Kerajaan. . 

Darah muda dan tenaga mereka menjadi tarikan utama parti politik untuk bersaing dalam meniupkan ideologi masing-masing ke dalam sanubari mahasiswa.  

Namun penyusupan pengaruh parti-parti politik ini di kalangan mahasiswa dilakukan secara “diam-diam” kerana AUKU berkuatkuasa. 

Meskipun demikian, saban tahun, universiti-universiti negara ini akan menyaksikan pertarungan sengit antara pelajar pro-kerajaan dan pro-pembangkang untuk menguasai persatuan-persatuan mahasiswa. 

Tidak kurang pula persatuan-persatuan mahasiswa yang ditubuhkan atas pelbagai nama dan alasan namun tanpa pengiktirafan universiti atau pihak berkuasa. 

Percambahan persatuan-persatuan seperti KAMI dan Solidariti Mahasiswa Malaysia dan pelbagai lagi menjadi tapak semaian subur untuk parti Pembangkang  menyediakan fixed deposit mereka dalam menghadapi pilihanraya umum. 

Tuntutan persatuan-persatuan pelajar ini secara rasmi bebas daripada politik kepartian namun realitinya adalah jauh sebaliknya. 

Penurunan bendera Najib di ibu pejabat UMNO dan laungan-laungan anti-Umno dan anti-Kerajaan di perkarangan UPSI tempoh hari bukanlah  politik matang mahupun bantahan secara berilmiah tetapi sekadar meniru gaya Pembangkang. 

Dalam konteks ini, tindakan pembangkang mengikat kerjasama secara rasmi dengan wakil-wakil mahasiswa seperti yang dilakukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan KAMI adalah petanda jelas pembangkang semakin ghairah memperkuatkan pegangan dan pengaruh mereka ke atas mahasiswa. 

Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Zambri Mohd Isa berkata jika kebajikan mahasiswa diutamakan, kerajaan Pakatan seharusnya tampil membantu semua persatuan pelajar dan tidak memilih bulu. 

“Kebimbangan kami ialah kerajaan negeri menerusi Pakatan Rakyat akan menggunakan segala bantuan untuk mendapatkan sokongan mahasiswa yang dilihat sebagai pro-pembangkang,” kata beliau kepada Antarapos.com.. 

Pemeteraian MOU di antara KAMI dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat adalah persediaan Pembangkang untuk bergerak apabila AUKU dipinda dan mahasiswa dibenarkan menyertai parti politik. 

Perjanjian atau MoU yang diikat dengan kumpulan mahasiswa seperti KAMI akan menjadi saluran penting untuk Pakatan Rakyat bergerak bebas di kampus di atas nama “membantu warga universiti dalam menjayakan aktiviti-aktiviti mereka.”  
        
“Ia merupakan pembuka jalan bagi hubungan erat antara persatuan mahasiswa universiti tersebut dengan Kerajaan Negeri di masa-masa yang akan datang," kata Dr Xavier pada majlis menandatangani MOU itu.

Bagi rakyat ia juga masa untuk merasa gusar terhadap kemungkinan kampus universiti menjadi medan politik kepartian untuk membentuk fixed deposit  politik dan bukan untuk mengejar kecemerlangan akademik. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkcplk

No comments:

Post a Comment