Tuesday 3 January 2012

Azmin : 100,000 ribu akan sertai kempen Bebas Anwar 901


KUALA LUMPUR, 3 JAN : Pakatan Rakyat menolak nasihat polis dan bertekad mengumpulkan 100,000 penyokong untuk menyertai  himpunan 'Bebas Anwar 901'  pada Isnin depan apabla Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang itu.
 
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata tindakan menghasut orang ramai untuk berhimpun di kawasan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur  boleh menggugat ketenteraman awam selain menghina pentadbiran sistem keadilan Negara.
 
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat,  Azmin Ali berkata larangan polis itu tidak adil kerana keputusan mahkamah itu memberi kesan kepada keseluruhan rakyat di negara ini.
 
"9 Januari ini adalah tarikh genting. Ia bukan sahaja mengenai batang tubuh Anwar dan keluarga beliau," kata dalam sidang media di ibu pejabat parti itu pagi ini.
 
Azmin juga turut menegaskan bahawa kes terbabit jelas bermotif politik serta berniat jahat semata-mata untuk menjatuhkan Anwar.
 
"Pemimpin Umno jelas mahu memastikan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri  seperti mana yang dipersetujui Permuafakatan Pakatan Rakyat," ujarnya.
 
Bercakap selepas memberi taklimat kepada Majlis Pimpinan Pusat, Ahli Parlimen dan ADUN PKR hari ini, Azmin menegaskan Pakatan akan menggerakkan 100,000 penyokong pada hari tersebut.
 
“Peringatan keras untuk UMNO…apa pun konspirasi untuk memenjarakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kami pasti akan bangkit meruntuhkan tembok kezaliman. Pakatan Rakyat telah sepakat bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke 7,” tambah Azmin.

Pada sidang akhbar itu, Azmin juga ditanya mengenai tindakan susulan PKR jika Anwar didapati bersalah dan dipenjarakan.

Beliau berkata isu itu akan diputuskan menerusi proses dalaman parti, namun menegaskan di peringkat Pakatan, gagasan itu bersedia untuk meneruskan perjuangan dalam apa keadaan sekali pun.

“Persoalan kepimpinan sememangnya diputuskan melalui permuafakatan dalam parti,” kata Azmin.

“Walau apapun keputusan pada 9hb Januari nanti, pimpinan KEADILAN bersama-sama Pakatan Rakyat…bersedia menggalas amanah memimpin negara serta berusaha mengembalikannya ke landasan yang tepat,” tambah beliau.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr.Abdul Rani Osman, turut menyatakan komitmen dan sokongan padu PAS untuk bersama-sama pada 9 Januari ini.

"Saya nak pesan kepada semua yang turun nanti, jangan bawa senjata yang tajam.

"Saya menyeru semua ahli PAS di Selangor dan seluruhnya untuk turun pasa 9 Januari nanti" kata beliau. 

Ditanya berhubung sokongan DAP pula, Azmin berkata Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Md Akin sedang berkomunikasi dengan pemimpin DAP. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcpRg

No comments:

Post a Comment