Saturday 31 December 2011

Anwar Dakwa Dakwat Kekal Bukan Jaminan PRU Telus


SHAH ALAM, 31 DIS : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa walaupun  Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) sudah mengumumkan pindaan peraturan bagi mewajibkan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum Ke 13 akan datang namun ia bukanlah jaminan bahawa pilihan raya di negara ini dapat dijalankan dengan bebas dan bersih.

Sebaliknya beliau berkata, masih terdapat banyak perkara yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepertimana yang dikemukakan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

“Namun demikian, perubahan kecil ini tidak seharusnya dilihat sebagai jaminan kepada proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas dan bersih sepenuhnya,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi, selain 10 cadangan yang disyorkan PSC untuk memperbaiki proses pilihan raya pihaknya juga perlu mempertimbangkan secara menyeluruh lapan tuntutan yang dikemukakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Saya percaya demokrasi dan proses pilihan raya bebas dan adil sewajarnya turut didukung dengan amalan serta pendekatan yang menjurus kepada kebebasan media dan kempen terbuka.

“Agensi media awam sewajarnya bersikap lebih adil dalam memberikan liputan untuk semua parti politik dan kempen politik parti-parti pembangkang sewajarnya tidak didiskriminasi menerusi tapisan melampau yang tidak munasabah serta mencabul hak kebebasan bersuara,” katanya.

Anwar menambah Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP komited dan menuntut agar PCS turut menumpukan perhatian kepada cadangan transformasi Bersih 2.0.

Kata beliau, PSC perlu mengkaji cadangan-cadangan itu sekiranya serius dalam menjamin pilihan raya yang bebas dan adil.

PSC akan membuat rumusan bagi 10 cadangan baru termasuk penggunaan dakwat kekal, yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen Mac depan.

Semalam Pengerusi PSC, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata keputusan mengenai peraturan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 akan diketahui pada 1 Februari depan.

Beliau berkata  peraturan itu sedang digubal dan kandungan dakwat masih dikaji oleh Jabatan Kimia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pada 3 Disember lalu, SPR mengesahkan akan menggunakan dakwat kekal yang mengandungi “silver nitrate” pada pilihan raya umum akan datang, selepas tuntutan PSC menggunakan kaedah itu dipersetujui dan diluluskan oleh Parlimen.

Pada 3 Oktober lalu Dewan Rakyat telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya bagi mengkaji perkara-perkara berkaitan proses pilihan raya Malaysia.

Jawantankuasa ini diketuai oleh  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili daripada wakil BN diikuti oleh Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit), Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar), Tan Sri Dr. Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan P. Kamalanathan (BN-Hulu Selangor).

Sementara itu wakil pembangkang pula terdiri daripada Azmin Ali (PKR-Gombak), Dr. Mohd. Hatta Ramli (Pas-Kuala Krai) dan Anthony Loke (DAP-Rasah) manakala wakil daripada bebas ialah Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju).


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZlk

No comments:

Post a Comment