Thursday 22 December 2011

Konflik Hasan : Khalid Ibrahim Tunggu Dan Lihat


RAWANG, 22 DIS : Kerajaan Negeri Selangor masih tidak membuat sebarang keputusan mengenai krisis antara Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awamnya Datuk Dr Hasan Ali dengan parti Pas.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan bahawa sebarang tindakan bergantung sendiri kepada pucuk pimpinan Pas dan Hasan manakala beliau bersama Pakatan Rakyat hanya mengambil sikap tunggu dan lihat dalam isu ini.  

"Perbincangan yang dibuat hanya di kalangan ahli Pas. Jadi, Pakatan Rakyat hanya meninjau dan melihat perkembangan tersebut. Mengenai apa (tindakan) yang dibuat (kepada Hasan), itu terpulang pada pucuk pimpinan Pas," kata Khalid pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Membeli Belah AEON di Rawang hari ini.

Konflik timbul apabila Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungip mendahului pucuk pimpinan parti menyatakan Hasan tidak mendapat pencalonan cukup sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Hasan kemudiannya menyatakan Pas telah terkeluar dari landasan asal perjuangan parti itu.

Hasan berpendapat Pas perlu kembali kepada perjuangan asalnya iaitu menubuhkan Negara Islam.

Beliau turut dikecam oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Mustapha Ali dan Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkan Hasan sebagai terperangkap dengan agenda UMNO.

Bagaimanapun Hasan menegaskan beliau tidak kisah jika digugurkan daripada jawatan exco serta tidak dipilih semula untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana berpegang teguh kepada prinsip Islam yang diperjuangkannya.

Khalid dalam pada itu merasakan hal seperti ini menandakan sikap terbuka parti dalam Pakatan Rakyat yang secara telus membincangkan masalah mereka.

"Saya rasa kerana Pakatan Rakyat amalkan sikap keterbukaan, ia membuka lebih banyak pertalian dan pasukan lebih mantap. Dulu perkara ini dibincangkan secara senyap-senyap dan gosip, tapi saya yakin selepas ini pasukan (Pakatan) akan lebih mantap,"katanya lagi.


http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJNh

No comments:

Post a Comment