Friday 23 December 2011

Khir Toyo Dipenjara Setahun


SHAH ALAM, 23 DIS : Mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dihukum penjara 12 bulan setelah didapati bersalah atas tuduhan rasuah. 

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki juga mengarahkan dua hartanah yang menjadi fokus dalam perbicaraan, dilucutkan daripada ADUN Sungai Panjang itu.
 
Menurut beliau, hukuman tegas perlu dikenakan kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan awam. 

Mohtaruddin berkata, kepentingan awam harus mengatasi kepentingan individu. Beliau bagaimanapun membenarkan permintaan peguam bela Khir untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan. 

Peguam bela M. Athimulan sebelum itu meminta mahkamah untuk hanya mengenakan denda tidak lebih RM10,000.

Beliau berkata Khir adalah pesalah kali pertama dan mempunyai enam orang anak. 

Beliau meminta Mantan Menteri Besar Selangor itu diikat jamin dan tidak dihukum penjara.

Pendakwaraya Masri Mohd Daud meminta mahkamah menghantar mesej yang tegas bahawa seorang yang memegang amanah awam tidak harus meminta balasan untuk faedah peribadinya. 

" Adalah jelas yang tertuduh telah menunjukkan minat dalam hartanah berkenaan pada tahun 2004 dan meminta Shamsuddin untuk membelinya sebelum membeli tanah itu untuk dirinya.

" Sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, beliau sepatutnya menunjukkan contoh kepimpinan dan tidak menggunakan kawan-kawan atau kenalan untuk menguntungkan diri,"katanya. 
 
Bahkan Mohtaruddin juga setuju dengan Masri, Khir didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 36 Akta Pencegahan Rasuah yang mewajibkan mahkamah melucutkan harta yang menjadi kesalahan rasuah. 
 
Hadir sama di mahkamah ialah isteri Khir, Zahrah Kechik dan kira-kira 40 penyokong beliau. 

Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditmas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Pada 8 Ogos lalu, Hakim Mohtaruddin memerintahkan Khir membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pendakwa sudah membuktikan kes prima facie ke atas pemimpin politik itu.

Dua puluh lima saksi pendakwa dan lima saksi pembela, termasuk Khir, memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut. 


http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJRm

No comments:

Post a Comment