Monday, 19 December 2011

Khalid : Projek Pencawang Cheras Diteruskan, Penduduk Bantah


SHAH ALAM, 19 DIS : Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menolak bantahan penduduk Taman Bukit Segar Jaya dan Taman Cheras dan tetap dengan keputusan membenarkan pembinaan menara pencawang masuk utama (PMU) di Taman Mahkota Cheras.

Khalid mendakwa pihak kerajaan negeri telah menangani segala keresahan penduduk sebelum memberi kelulusan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan projek RM91juta itu.

Bagaimanapun Khalid disifatkan pembohong apabila penduduk terbabit menafikan Menteri Besar atau wakilnya turun padang mendapatkan maklum balas daripada mereka sebelum memberikan kelulusan kepada TNB.

Penduduk terbabit bercadang untuk mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran esok di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri serta mendedahkan "agenda" kerajaan negeri dalam memberikan kelulusan itu.
 
Menurut Khalid, kerajaan negeri memberikan kebenaran kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) setelah mengambil kira semua faktor yang melibatkan penduduk. 
 
"Kita telah mengadakan lebih lima kali perbincangan untuk mengambil kira tempat yang paling sesuai dan yang paling kurang memberi kesan yang negatif kepada penduduk setempat. Itu sebab kita lakukan (teruskan pembinaan). Hasil daripada perbincangan tersebut kita telah memilih satu jalan yang kita rasa boleh pertahankan."

Projek pencawang itu bertujuan mengukuhkan sistem bekalan elektrik di sekitar kawasan Cheras dan Balakong yang telah mencapai tahap kritikal untuk menampung keperluan 400,000 pengguna.

Penduduk sekitar Taman Cheras Hartamas, Taman Bukit Segar Jaya dan sekitarnya membantah jaringan asal projek itu kerana risau akan terdedah kepada ruang elektrik dan magnetik (EMF) serta mengganggu kestabilan cerun di kawasan terbabit.

Khalid menggesa semua pihak untuk memahami tujuan sebenar projek itu.

Beliau berkata TNB akan turun padang memberi taklimat kepada penduduk sekitar terutama bagi perumahan Taman Cheras Hartamas dan Taman Bukit Segar dalam masa terdekat ini bagi memberikan penjelasan.

"Kita memang bertanggungjawab.... Saya rasa perkara ini teknikal dan bukan boleh dibahaskan secara ambil kira keseronokkan orang ramai, kita mengambil kira apa yang patut kita lakukan." 
 
Projek yang telah dimulakan sejak 2008 itu sepatutnya siap Oktober 2010. Ia akan disambung semula Januari depan dan dijangka siap Ogos tahun yang sama. Status kemajuannya ketika ini adalah pada tahap 65 peratus.

Ia sebelum ini dihentikan akibat menerima bantahan penduduk.

No comments:

Post a Comment