Tuesday, 20 December 2011

ADUN Bukit Gasing Meninggal Dunia


PETALING JAYA, 20 DIS : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, Edward Lee menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 4.00 pagi tadi, lapor pemimpin parti DAP.

Ketika memaklumkan perkara itu menerusi mesej Twitter, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Lee, 61, meninggal dunia akibat penyakit kanser yang dihidapinya sejak 2009.

“Saya dimaklumkan bahawa YB Edward Lee (DAP-Bukit Gasing) telah meninggal dunia. (Mendiang) seorang yang baik, saya rakan satu kelas dengan James, anak lelakinya di La Salle,” kata Nik Nazmi yang juga ADUN Seti Setia.

Mendiang dimasukkan ke hospital pada 14 Disember lalu dan sepatutnya dibawa pulang ke rumah hari ini, tetapi telah meninggal dunia, kata seorang rakannya.

Lee, wakil rakyat penggal pertama, juga merupakan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Pada pilihan raya umum 2008, beliau menang kerusi Bukit Gasing dengan majoriti 8,812 undi.

Mendiang mendirikan rumah tangga dengan Christina Lee dan mempunyai tiga anak lelaki.

Beliau juga merupakan pembantu kepada Elizabeth Wong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment