SHAH ALAM, 20 DIS : Peruntukan yang disalur kerajaan pusat bagi membangunkan Selangor adalah lebih besar berbanding jumlah dana yang disediakan kerajaan negeri itu sendiri, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
Katanya, sepanjang tahun ini sahaja kerajaan pusat telah menyalurkan RM2.7 bilion untuk negeri itu.
Menurutnya lagi, di bawah Rancangan Malaysia ke-10 sebanyak RM2.62 bilion disalurkan kerajaan pusat bagi melaksanakan 628 projek di Selangor dan sebanyak RM83.81 juta disalurkan menerusi pelbagai agensi dan kementerian.
Selain itu Noh berkata, sebanyak RM16.95 juta disalurkan untuk 11 projek yang diminta pemimpin tempatan ketika lawatan Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri itu baru-baru ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor semalam.
Kerajaan Selangor sebelum ini membentangkan belanjawan berjumlah RM1.43 bilion, yang mana RM830 juta diperuntukkan untuk belanja mengurus dan baki RM600 juta bagi pembangunan negeri untuk tahun ini.
Pada majlis itu, Noh turut menyampaikan surat pelantikan kontraktor untuk fasa kedua membina dan menaik taraf perhentian bas di seluruh Selangor, merangkumi 67 projek bernilai RM9.1 juta.
No comments:
Post a Comment