Friday, 6 January 2012

Bangunan Umno di Kedah 'Diconteng Kata Nista'


ALOR SETAR, 6 JAN :  Beberapa bangunan milik Umno Kedah disembur cat dan kata-kata nista terhadap parti itu menjelang keputusan mahkamah pada Isnin ini berhubung kes liwat melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menjadi mangsa ialah kenderaan orang awam serta bas yang disembur cat warna hitam dengan perkataan "Bebaskan Anwar" dan "Gerakan 901".
 
Bangunan Tunku di sini yang menempatkan pejabat Badan Perhubungan Umno Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah dan Bank CIMB, disembur perkataan memburukkan Umno, Barisan Nasional dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
 
Bangunan Umno Padang Terap di Kuala Nerang dan bangunan Umno Kubang Pasu di Jitra turut menjadi sasaran kumpulan tidak bertanggungjawab yang menyembur perkataan serupa.
 
Umno Kedah membuat laporan polis di Balai Alor Setar, Kuala Nerang dan Jitra, pagi ini.
 
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Umno Kedah sangat kesal dengan perbuatan vandalisme berunsur provokatif itu.
 
"Orang penakut sahaja yang sanggup melakukan perbuatan menconteng ini," katanya yang mencabar golongan ini bersemuka dengan Umno secara berdepan dan bukan dengan cara menconteng bangunan pada waktu malam.
 
Pengurus Harta Umno Kedah, Salleh Saad, berkata beliau menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan pada 6.15 pagi ini berhubung perbuatan itu yang dipercayai dilakukan antara 3.30 pagi dan 5 pagi tadi.
 
Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menganggap perbuatan itu dilakukan orang biadab yang sakit hati.
 
Beliau bersama Ketua Polis Padang Terap, DSP Ku Yaacob Ku Hamad meninjau bangunan yang menjadi sasaran kumpulan tersebut.
 
 Di Jitra, laporan polis berkaitan perbuatan itu dibuat oleh pemandu van Umno bahagian Kubang Pasu, Shahrizal Saidin di Balai Polis Jitra.
 
Naib Ketua Umno bahagian, Zulfitri Yaacob berkata Shahrizal tiba di pejabat pada 8 pagi dan mendapati van Umno serta bangunan dan beberapa kenderaan yang diletakkan berdekatan bangunan Umno Kubang Pasu disembur dengan perkataan-perkataan serupa di bangunan Umno lain. - SinarHarian


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkc5Fl

Demo Anwar : Pekida-Perkasa DiPanggil Polis


KUALA LUMPUR, 6 JAN : PEKIDA dan Perkasa memberi amaran kepada penyokong pembangkang  tidàk menimbulkan kekecohan di persekitaran Masjid Wilayah Persekutuan pada Isnin depan.

Ahli Majlis Tertinggi PEKIDA, Mohd Syahril Abdul Aziz berkata pihaknya bersama Perkasa telah mengatur program agama di masjid berkenaan dan berharap penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menimbulkan sebarang provokasi.
 
Pimpinan Pekida dipanggil oleh Polis Kuala Lumpur untuk menjelaskan  program agama  di masjid itu yang berhampiran dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.  

"Saya berharap penyokong-penyokong. yang turun ke mahkamah nanti pada Isnin. depàn janganlah buat kekecohan di masjid ini, boleh berhimpun tetapi jangan menganggu program kami.

"Kami mengadakan program agama ini. yang telah dirancang awal lagi daripada  Shah Alàm dan sekarang program ini bergerak ke Masjid Wilayah pula,"katanya.

Beliau selain itu berkata program tersebut bermula jam 1 tengah hari Ahad dan habis pada pagi Isnin 9 Januari ini.

"Mereka semua boleh solat di sini tetapi jangan buat kekecohan di masjid ini," katanya.

Dalam pérkembangan yang sama,  Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abd. Rahman Abu Bakar turut dipanggil oleh Polis Kontijen Kuala Lumpur.

Beliau turut menegaskan agar penyokong Datuk Serí. Anwar tidak menganggu ketenteraman pada program Solat Hajat anjuran dua badan itu. 

"Jangan ada gangguan, kami dah merancang solat hajat ini lama untuk keselamatan negara," katanya.
 
Pakatan Rakyat bercadang mengumpulkan ribuan penyokong sebagai tanda sokongan terhadap Anwar apabila Mahkahman Tinggi Kuala Lumpur memberi keputusan bersabit kes liwatnya Isnin ini.
 
Pagi tadi, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan pihak polis mencapai persetujuan untuk memastikan tunjuk perasaan berlangsung secara aman.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkc5Fh

Tentera Sedia Bantu Polis Hadapi Kempen 'Bebas Anwar 901', Kata Zahid


KUALA LUMPUR, 6 JAN : Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan khidmat Angkatan Tentera Malaysia(ATM) kepada Polis Diraja Malaysia(PDRM) bagi menghadapi himpunan 'Bebas Anwar 901'pada Isnin ini apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang itu. 

Katanya, beliau yakin polis mampu menangani sebarang kemungkinan semasa perhimpunan itu yang dijangka dihadiri ribuan penyokong parti pembangkang itu. 

"Oleh kerana PDRM mempunyai kekuatan anggota yang mencukupi, ATM yakin bahawa mereka boleh melaksanakan tugas menangani sebarang permasalahan yang timbul pada 9 Januari nanti.

"Namun jika situasi memerlukan ATM untuk membantu PDRM, kita sentiasa bersiap siaga demi keselamatan dan pertahanan negara bagi menentukan kerajaan yang sah, sistem perundangan yang telus, serta sistem demokrasi yang sedia dijalankan begitu lama oleh negara kita, akan dapat dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di sini hari ini. 

Ahmad Zahid meminta kedua-dua pihak, sama ada penyokong atau yang menentang perhimpunan itu, supaya berkompromi dan tidak mengadakan perhimpunan itu. 

"Jangan fikir, mereka (penganjur) dapat sokongan semua pihak, ada pihak tak suka perhimpunan itu. Contohnya yang mewakili NGO, mereka juga akan rasa mereka ada hak untuk berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap perhimpunan tersebut. 

"Jika ini terjadi, maka keadaan akan menjadi lebih buruk. Pada masa ini pula, saya dengar penganjur perhimpunan itu sudah adakan roadshow seluruh negara, NGO-NGO ini juga akan lakukan perkara yang sama, jadi ini harus dihentikan," katanya. 

Ahmad Zahid berkata, penganjur perhimpunan perlu menerima saranan kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di tempat yang sudah ditentukan dan terjamin keselamatannya. 

"Saya juga suka mengingatkan kepada kepimpinan tertinggi mahupun anggota-anggota UMNO di peringkat akar umbi supaya tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan itu nanti baik sebagai penyokong atau penentang bagi mengelak sebarang permasalahan yang timbul. 

"Kepada NGO-NGO itu yang ingin lancarkan perhimpunan itu juga, saya harap fikirkan jalan terbaik supaya tidak berlaku pertembungan dua pihak," katanya. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkc5Ff

Hasan : Hotel Bajet Jadi Sarang Maksiat Paling Popular


SHAH ALAM, 5 JAN : Operasi Khas Anti Zina oleh Jabatan Agama Islam Selangor sempena Sambutan Tahun Baru 2012 mendedahkan hotel bajet yang bercambah di negeri itu semakin digunakan  sebagai sarang maksiat.
 
Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali berkata operasi cegah arak di pusat hiburan dan operasi khalwat dan zina di hotel bajet dilancarkan serentak di kesemua sembilan daerah di Selangor.
 
"Daripada operasi yang dibuat, adalah jelas bahawa hotel-hotel bajet telah dijadikan tempat melakukan maksiat yang paling popular dikalangan mereka yang terlibat," kata beliau.
 
"Untuk semua daerah kerjasama pemilik dan kakitangan hotel yang terlibat bolehlah dikatakan memuaskan walaupun diperingkat awalnya terdapat percubaan untuk melindungi penginap-penginap hotel tersebut." tambah beliau.
 
Seramai 18 orang ditahan termasuk 6 wanita dalam operasi cegah arak  di dua pusat hiburan  di Damansara dan Petaling Jaya akan dihadapkan ke mahkamah. Enam puluh Sembilan yang lain akan diberi kaunselling.
 
Hasan berkata dalam operasi mencegah khalwat dan zina pada tahun baru, pihaknya menahan   127 lelaki dan 107 wanita termasuk remaja berusia 16 tahun.
 
Daerah Gombak mencatatkan jumlah yang ditahan paling tinggi dengan 74 orang (37 pasangan), Klang 28 orang (14 pasangan), Hulu Selangor 27 orang (13 Pasangan) dan Hulu Langat 20 orang (10 pasangan).
 
Mereka yang terlibat akan dipanggil untuk memberikan keterangan pada 12 dan 13 Januari sementara tarikh untuk mereka hadir ke sesi kaunseling akan dimaklumkan kemudian.
 
Kedua-dua operasi itu dilakukan sebagai langkah menguatkuasakan Seksyen 18 (Minuman Yang Memabukkan) dan Seksyen 29 (Khalwat) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkcpln

Demo UPSI : Safwan Buat Laporan Polis, Janji Kemuka Bukti Video


KUALA LUMPUR, 5 JAN : Safwan Anang hari ini membuat laporan polis mendakwa beliau telah dikasari oleh polis pada malam Perhimpunan Aman Mahasiswa yang diadakan di hadapan pintu utama masuk Universiti Pendidikan Sultan Idris 1 Januari lalu.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi  petang tadi. Peguamnya berjanji untuk mengemukakan bukti video untuk menyokong dakwaan itu.  
 
"Saya tegaskan sekali lagi yang saya dicederakan, dikasari oleh pihak polis, ini bukan kali pertama kita berhimpun secara aman dan kita jelas sokongan kita pada malam itu pun, adalah semata-mata untuk menuntut supaya UPSI menarik balik tindakan terhadap saudara Adam Adli, ujar beliau.

Sementara itu Pengarah dari Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) dan Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata pihaknya sedang mengumpul bukti kekasaran yang ditempuhi oleh  Safwan Anang dan mahasiswa lain. 
 
"Untuk makluman juga, kita ada beberapa bukti yang jelas berlaku pergelutan tersebut, beberapa rakaman video yang sangat jelas, jadi apa yang dipaparkan di kaca-kaca tv sebelum ini hanya sebahagian sahaja yang tidak menunjukkan kekasaran.

"Tetapi apa yang berlaku kepada saudara Safwan kita, bukti ada bahawa dia mula-mula ditarik secara kasar, kemudian ditumbuk dan dihentak dengan lutut itu ada dalam rakaman video,” katanya.

Dalam laporan polis  itu Safwan mendakwa dirinya ditumbuk sehinggakan bibir di sebelah kiri berdarah selain juga mendakwa dihentak dengan lutut dibahagian rusuk kanannya dan mengalami sesak nafas.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Adam Adli akan dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan pada polis esok jam 11 pagi bersabit kejadian itu. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkcplm